Notifikasi kepada Pelanggan mengenai Notis Pertukaran Asing (Foreign Exchange, “FE”)
Notis FE adalah satu set notis yang bertujuan menyokong objektif makroekonomi keseluruhan dalam memastikan imbangan pembayaran serta nilai Ringgit Malaysia terpelihara. Notis FE ini ditadbir di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Notis FE terpakai kepada Penduduk[i] yang berurusan dalam mata wang asing serta Bukan Penduduk[ii] yang berurusan dalam Ringgit Malaysia di Malaysia. Sehubungan itu, sekiranya terdapat perubahan dalam status pemastautin anda, iaitu kewarganegaraan, status penduduk tetap (sama ada di dalam atau di luar Malaysia) dan/atau domisili, daripada Penduduk kepada Bukan Penduduk atau sebaliknya, adalah menjadi tanggungjawab anda sebagai pelanggan untuk memaklumkan kepada Kenanga Investment Bank Berhad dan anak syarikatnya (“Kenanga Group”) mengenai perubahan tersebut agar akaun anda dapat dikemas kini sewajarnya.
Selain itu, dalam proses semakan berkala akaun pelanggan oleh Kenanga Group, sekiranya kami mengenal pasti sebarang perubahan dalam status pemastautin anda, kami berhak untuk menyemak semula semua terma dan syarat yang diberikan kepada anda bagi kemudahan yang disediakan, jika perlu.
Anda juga dikehendaki mengisytiharkan status pinjaman domestik dalam Ringgit (dalam RM atau nilai setara dalam agregat setahun kalendar) sebelum melabur dalam aset mata wang asing dalam borang yang berkaitan. Sekiranya jumlah transaksi anda melebihi dan tidak berada dalam had pelaburan yang ditetapkan dalam Notis FE, kelulusan awal daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mesti diperoleh.
Sebagai ilustrasi, bagi pelaburan dalam aset mata wang asing dalam pasaran domestik dan pelaburan di luar negara atas kapasiti sendiri, individu atau entiti Penduduk dengan pinjaman dalam Ringgit domestik dibenarkan menukar Ringgit kepada mata wang asing sehingga RM1.0 juta/RM50.0 juta dalam agregat setahun kalendar, tertakluk kepada keperluan yang berkenaan.
Sekiranya pertukaran Ringgit kepada mata wang asing anda telah melebihi had pelaburan RM1.0 juta/RM50.0 juta, kelulusan awal daripada BNM mesti diperoleh sebelum melakukan sebarang transaksi melalui Kenanga Group.
Notis FE yang perlu anda beri perhatian ialah:
Notis 1: Urus niaga dalam Mata Wang, Emas dan Logam Berharga lain;
Notis 2: Pinjaman, Pemberian Pinjaman dan Jaminan;
Notis 3: Pelaburan dalam Aset Mata Wang Asing;
Notis 4: Pembayaran dan Penerimaan;
Notis 5: Sekuriti dan Instrumen Kewangan;
Notis 6: Import dan Eksport Mata Wang; dan
Notis 7: Eksport Barangan.
Sila rujuk laman web Bank Negara Malaysia [di sini] untuk senarai Notis FE dan Soalan Lazim yang berkaitan.
Sila ambil perhatian bahawa Notis FE dan dokumen berkaitan boleh dikemas kini dari semasa ke semasa dan anda dinasihatkan untuk membaca dan memahami Notis FE dan dokumen berkaitan dan memastikan segala aktiviti yang dilakukan untuk akaun yang dikekalkan bersama Kenanga Group sentiasa mematuhi Notis FE setiap masa.
[i] “Penduduk” bermaksud –
- Warganegara Malaysia, kecuali warganegara yang telah memperoleh status penduduk tetap di negara atau wilayah luar Malaysia dan menetap di luar Malaysia;
- Bukan warganegara Malaysia yang telah memperoleh status penduduk tetap di Malaysia dan lazimnya menetap di Malaysia;
- Badan korporat yang diperbadankan atau ditubuhkan, atau didaftarkan dengan atau diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa di Malaysia;
- Badan bukan diperbadankan yang didaftarkan dengan atau diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa di Malaysia; atau
- Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri.
[ii] “Bukan Penduduk” bermaksud –
- Mana-mana individu selain daripada Penduduk;
- Cawangan luar negara, anak syarikat, pejabat serantau, pejabat jualan atau wakil bagi syarikat pemastautin;
- Kedutaan, Konsulat, Suruhanjaya Tinggi, organisasi supranasional atau antarabangsa; atau
- Warganegara Malaysia yang telah memperoleh status penduduk tetap di negara atau wilayah luar Malaysia dan menetap di luar Malaysia.
Makluman:
***Kandungan yang dikongsi dalam halaman ini adalah untuk tujuan maklumat dan pendidikan sahaja. Kenanga Group tidak menjamin ketepatan, kebolehpercayaan atau kesempurnaan maklumat ini serta tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang mungkin anda alami akibat penggunaan atau kebergantungan kepada kandungan yang diterbitkan di halaman ini.***